Monday, August 23, 2010

PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-3




BIODATA
Jawatan                          : Perdana Menteri ke-3

Tempoh perkhidmatan    : 15 Januari 1976 - 16 Julai 1981

Timbalan                        : Dr. Mahathir Mohamad
                                       (1976 - 1981)
Menurut                         : Tun Abdul Razak

Menggantikan                : Dr. Mahathir Mohamad

Parti politik                    : UMNO

Tarikh lahir                    : 12 Februari 1922

Tempat lahir                  : Johor Bahru, Johor

Tarikh kematian            : 29 Mei 1990

Tempat kematian          : San Francisco Selatan,
                                     Amerika Syarikat
Pekerjaan                    : Peguam
Agama                        : Islam





KERJAYA POLITIK
Hussein Onn yang berasal daripada sebuah keluarga yang mempunyai semangat nasionalisme dan akar politik yang mendalam, kemudian meletakkan jawatan perkhidmatan awam untuk menyertai politik. Pada tahun 1949, beliau menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama dan kemudian, pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung. Bagaimanapun, Hussein Onn meninggalkan UMNO pada tahun 1951 untuk menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang ditubuhkan oleh ayahandanya.

Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, Hussein Onn pergi ke London untuk belajar undang-undang di Lincoln's Inn dan berjaya melayakkan diri sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958. Beliau pulang ke Malaya sebagai seorang peguam bertauliah dan bekerja di Kuala Lumpur.


Kebangkitan untuk berkuasa
Hussein Onn kembali ke politik untuk menyertai UMNO pada tahun 1968 selepas dipujuk oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika itu. Beliau bertanding dan menang dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran.

Kenaikan pangkatnya yang pantas itu berterusan sewaktu beliau mewarisi Tun Dr Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada 15 Januari 1976, Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak.

Hussein Onn termasyhur dalam penegasannya terhadap persoalan perpaduan melalui dasar-dasar yang bertujuan semata-mata untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum masyarakat. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau meneruskan agenda pembangunan Allahyaraham Tun Abdul Razak; usahanya dalam memajukan Malaysia tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru. Hussein Onn sentiasa mencuba meningkatkan taraf hidup kaum Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain pada waktu itu. Dengan itu, pada 20 April 1981, beliau melancarkan Skim Amanah Saham Nasional yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang bertujuan untuk meningkatkan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.

Hussein Onn juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan terhadap ancaman dadah. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia juga diperbesar dan dipermodenkan kerana kekalahan Vietnam Selatan oleh pihak komunis yang menggemparkan seluruh rantau Asia Tenggara.

Hussein Onn menjalani pintasan koronari pada awal 1981. Pada 17 Julai dalam tahun itu, beliau bersara daripada politik aktif dan meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri atas sebab-sebab kesihatan. Jawatan Perdana Menteri diambil alih oleh timbalannya, Mahathir bin Mohamad. Disebabkan perkhidmatannya kepada negara, Hussein Onn dikurniakan dengan gelaran Tun yang merupakan anugerah diraja yang tertinggi di Malaysia.





SELEPAS PERSARAAN
Selepas persaraannya sebagai Perdana Menteri, Tun Hussein meneruskan sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Beliau memainkan peranan utama dalam pertubuhan Hospital Mata Tun Hussein Onn. Tun Hussein juga menjadi Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan penasihat kepada Petronas.

Sewaktu krisis kepimpinan UMNO yang berlaku pada tahun 1987, hubungan Tun Hussein dengan Dr. Mahathir menjadi buruk, dan beliau menyokong 'Team B' bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman. Mulai dari saat itu, Tun Hussein dan Tunku menjadi pengkritik yang kuat terhadap pentadbiran Mahathir.

Tun Hussein menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung, dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Tun Hussein mempunyai dua anak lelaki serta empat anak perempuan. Isterinya Toh Puan Suhaila Tan Sri Haji Mohd Noah. Pada 30 Mac 2004, anak lelakinya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, menjadi Menteri Pelajaran Malaysia.Kemudian selepas Permulaan pentadbiran Dato' Seri Najib bin Tun Abdul Razak, Dato' Seri Hishamuddin dilantik pula sebagai Menteri Dalam Negeri. Sebaliknya, anak perempuan sulungnya, Datin Roqiyah Hanim, meninggal di Kuala Lumpur pada 17 September 2005 sewaktu berumur 56, kerana menghidap penyakit barah payu dara.





GARIS MASA
1922: Dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari.

1942 (umur 20): Terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq.

1945 (umur 23): Pulang ke tanah air dan dilantik sebagai Komandan Polis Johor Bahru.

1946 (umur 24): Menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila Dato’ Onn bin Jaafar menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung dan dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO.

1950 (umur 28): Dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama; juga dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.

1951 (umur 29): Menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) dan kemudiannya Parti Negara.

1958 (umur 36): Mendapat ijazah undang-undang di Lincoln's Inn, England.

1964 (umur 42): Menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak, Yang DiPertua UMNO

1969 (umur 47): Dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertiggi UMNO) pada Jun.

1970 (umur 48): Menjadi Menteri Pelajaran pada September.

1972 (umur 50): Dipilih sebagai Naib Presiden UMNO

1973 (umur 51): Dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden pada 8 Ogos oleh Majlis Tertinggi UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail. Juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos dan memegang portfolio Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

1976 (umur 54): Disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO berikutan kematian Tun Razak. Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari.

1978 (umur 56): Menang jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding.

1981 (umur 59): Menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri negara pada Julai 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.

1990 (umur 68): Pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung. Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara.

No comments:

Post a Comment