Monday, August 23, 2010

PERDANA MENTERI MALAYSIA PERTAMA




BIODATA
Lahir               : 8 Februari 1903(1903-02-08)
                        Alor Star, Kedah, British Malaya

Meninggal       : 6 Disember 1990 (umur 87)
                       Kuala Lumpur, Malaysia
Parti politik     : Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu-Parti Perikatan/National Front

Pasangan        : Meriam Chong (1933 – 1935)
                       Violet Coulson (1935 – 1946)
                       Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah (1939 – 1990)
Pekerjaan       : Peguam
Agama           : Islam





PENDIDIKAN
Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar. Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke rumahnya untuk mengajar bahasa Inggeris. Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu siang dan membaca Al-Quran pada waktu petang.

Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School). Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan SM Zainal Abidin. Seorang yang aktif, beliau menyertai Pengakap dan Kor Kadet.

Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk menerima pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana dasar aparteid ('kulit berwarna') masih diamalkan, beliau membantah kepada William Peel, Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf.

Dari segi berpakaian, Tunku agak kebaratan. Semasa beliau dihantar ke England, tiada sepasang pun baju Melayu yang dibawa. Tunku dan keluarganya hanya menempah pakaian Barat di kedai Pritchards di Pulau Pinang. Ketika di England, Tunku amat berlainan dengan Sultan Perak yang berbaju Melayu, siap dengan tengkolok.

Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya, Ivor Jenning (Sir), H.V. Davies dan George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan sastera (Sejarah). Beliau suka bersiar-siar dengan motosikal Riley Sport dan kereta mewah, dan melakukan 28 kesalahan trafik jalan raya semasa berada di Cambridge. Tunku tidak dapat menduduki peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera kerana terlupa jadual waktu peperiksaan. Dengan bantuan dan kerjasama daripada sahabatnya, Taib Andak, beliau memperolehi ijazahnya pada tahun 1925.

Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester pertama dalam jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931, dan dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun berikutnya. Beliau dipindahkan ke Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat British sewaktu itu. Pada tahun 1937, Tunku bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani bersamping bertindak sebagai hakim daerah dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani. Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan Masjid Rahmaniah sempena nama Tunku.

Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk menyambung pelajaran undang-undangnya. Antara temannya ialah Sardon Haji Jubir. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada 1940, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.

Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun, sewaktu pegawai British hendak membawanya ke India. Bagi beliau, tidak wajarlah seseorang sultan melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan. Berpakaian Tentera Utara Australia, Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama dengan Syed Abu Bakar al Idrus, seorang Merinyu Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya di Sedim, dekat dengan Kulim, di bawah jagaan Penghulu Wahab. Tunku Badlishah, Pemangku Raja Kedah, tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah.

Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star. Jepun mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Star.

Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947. Sewaktu tempoh itu, Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden untuk Persatuan Pelajar Melayu Britain, dan Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha. Semasa itu, Tunku menyertai "Persatuan Pelajar India Islam" yang menuntut kemerdekaan India. Beliau juga berkempen untuk Lyold George Jurith, seorang calon Parti Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi peguam pada tahun 1949.

Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan pertandingan bola sepak antarabangsa yang digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden pertama untuk Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah jawatan yang beliau memegang sehingga 1976





KERJAYA POLITIK
Selepas pemulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian meminta perpindahan ke Kuala Lumpur di mana beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Sesyen.

Pada tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum Melayu di tengah-tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh Britain. Datuk Onn Jaafar mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union (sila lihat: Sejarah Malaysia) dan Tunku menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO memaksakan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.

Laluan ke kemerdekaan
Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang berikut, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang pada saat itu merupakan parti campuran UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama. MIC yang mewakili kaum India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.

Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat naik, dan perakaman-perakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai sorakan, kini merupakan lambang kemerdekaan Malaysia yang biasa.

Sebagai Perdana Menteri
Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin Parti Perikatan ke kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan 1964. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaian Tunku yang teragung.

Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak, dan Brunei dalam ucapannya kepada "Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara" pada tahun 1961 di Singapura. Pada 16 September 1963, dengan persekutuan negeri-negeri tersebut kecuali Brunei, beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan Singapura yang menaikkan bahagian kaum Cina sehingga hampir-hampir 40%. Kedua-dua UMNO dan MCA berasa tegang terhadap daya tarikan Parti Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan sebagai sebuah parti sosialis yang radikal) Lee Kwan Yew kepada pengundi-pengundi di Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan mencuba membentukkan sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee di sana. Sebagai gerak balas, Lee mengancam bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian (sila lihat Hubungan PAP-UMNO. Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia.

Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur bahawa Parliamen haruslah mengundi untuk menyokong peninggalan Singapura daripada Persekutuan. Dalam perkataannya, Parliamen harus memilih untuk "memutuskan semua pertalian dengan sebuah Kerajaan Negeri yang tidak mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan Pusat" berbanding kaedah yang tidak diingini untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada 9 Ogos 1965.

Pada tahun 1961, Tunku menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang memperkumpulkan Malaya, Thailand dan Filipina Perkumpulan ini kemudian digantikan dengan perkumpulan yang lebih besar, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pada 8 Ogos 1967.

Dalam Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat. Perhimpunan-perhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei di Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Abdul Razak kritis terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku, dan MAGERAN, sebuah jawatan kuasa darurat, mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan darurat.

Kuasa Tunku sebagai Perdana Menteri dibatasi secara besar, dan pada 22 September 1970, beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tunku kemudian meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada Jun 1971 di tengah-tengah penentangan hebat oleh 'Turki Muda' yang terdiri daripada penentang-penentang parti seperti Dr Mahathir dan Musa Hitam. Pasangan itu kemudian masing-masing menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri



KEHIDUPAN KEMUDIAN
Pada 1977, setelah memperolehi sebahagian besar hak milik The Star, sebuah syarikat surat khabar yang berasaskan di Pulau Pinang, Tunku menjadi pengerusinya. Ruang-ruangnya, "Mengenang kembali" ("Looking Back") dan "Sebagaimana yang Saya Perlihatkan" ("As I See It") kritis kepada kerajaan, dan pada tahun 1987, Perdana Menteri Dr Mahathir mengharamkan surat khabar itu. Ini menyebabkan perpecahan di dalam UMNO, dengan Tunku dan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn menubuhkan sebuah parti baru yang digelar "UMNO Malaysia", tetapi pendaftarannya dibatalkan oleh Dr Mahathir yang menubuhkan UMNO Baru. Tunku kemudian menyokong Semangat 46 yang merupakan kumpulan serpihan UMNO yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau berkempen dengan cergas untuk Semangat 46 dalam Pilihan Raya Umum 1990, tetapi sewaktu itu, kesihatannya telah merosot.

Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau Pinang. Beliau meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu berumur 87, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Star





GARIS MASA
1903: Dilahirkan pada 8 Februari di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin.

1913 (umur 10): Beliau dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, iaitu abang sulung Tunku Abdul Rahman. Tunku belajar di Sekolah Debsirindir, Bangkok.

1916 (umur 13): Pulang ke Kedah dan memasuki Penang Free School.

1919 (umur 16): Belajar di England.

1925 (umur 22): Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dengan bantuan dan kerjasama dari sahabatnya Taib Andak.

1927 (umur 24): Dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu.

1930 (umur 27): Lulus semester pertama, jurusan undang-undang di Inner Temple.

1931 (umur 28): Berkhidmat sebagai pegawai latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah dengan gaji sebanyak RM300.00 sebulan, dan kemudiannya sebagai Penolong Pegawai Jajahan di Kulim.

1932 (umur 29): Berkhidmat sebagai Pegawai Jajahan di Kuala Nerang.

1933 (umur 30): Berkahwin dengan Mariam, gadis kacukan Cina-Siam, anak tauke lombong Cina di Alor Setar. Akhir 1933, Mariam melahirkan anak perempuan dan dinamakan Tunku Khatijah ibni Tunku Abdul Rahman. Kemudian anak lelaki bernama Tunku Ahmad Nerang ibni Tunku Abdul Rahman.

1934: Mariam meninggal dunia kerana penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah. Tunku berkahwin dengan kekasih lamanya Violet Coulson di Geylang Serai, Singapura.

1935 (umur 32): Dipindahkan ke Pulau Langkawi oleh Penasihat British, Clayton. Selain itu , perkahwinan Tunku dengan Violet kurang direstui.

1937 (umur 34): Bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani.Beliau juga bertindak sebagai hakim daerah Sungai Petani dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani.

1938 (umur 37): Pergi ke England buat kali ke-3 untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang. Antara temannya ialah Saadon Zubir. Tunku berbaik semula dengan isterinya yang telah diceraikan , Violet Coulson.

1939 (umur 36): Kembali ke Kedah kerana ada berita perang akan meletus di Eropah.Berkahwin dengan Syarifah Rodziah binti Syed Barakbah .Syarifah Rodziah Syed Syeikh Barakbah ialah adik rakan sekuliahnya di England iaitu Syed Omar Barakbah. Perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun.

1940 (umur 37): Dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.

1941 (umur 38): Jepun menyerang Kota Bharu , Kelantan pada 8 Disember.

1947 (umur 44): Berangkat semula ke England untuk menyambung pengajian * 1948 (umur 45): Dipanggil ke bar di Inner Temple.

1949 (umur 46): Pulang ke Tanah Melayu. Pada mulanya, beliau dihantar ke pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Kemudian beliau memohon untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Tunku menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan kemudiannya, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesi.

1946: Menyertai UMNO.

1951 (umur 48): Menjadi Presiden UMNO pada Oktober sewaktu Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan. Menganjurkan Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat negeri yang pertama di Kedah.

1954 (umur 51): Mengetuai satu rombongan ke England untuk berbincang bagi menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tetapi kunjungan itu tidak berhasil.

1955 (umur 52): Pilihan raya persekutuan umum yang pertama diadakan, dan Parti Perikatan(Barisan Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dengan majoriti ini, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama. Satu lagi rombongan ke London diadakan.

1956 (umur 53): England bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sebaik pulang dari England, Tunku mengisytiharkan berita gembira ini buat kali pertamanya pada 20 Februari di Bandar Hilir, Melaka.

1957 (umur 54): Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos. Memperkenalkan kejohanan Pestabola Merdeka, yang merupakan pertandingan bolasepak antarabangsa.

1958 (umur 55): Dilantik sebagai Presiden pertama Asian Football Confederation (AFC) (1958 – 1976).

1960 (umur 57): Menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu golongan mualaf dalam menyesuaikan hidup baru sebagai Muslim.

1961 (umur 58): Memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) yang menggabungkan Tanah Melayu, Thailand dan Filipina. Menjadi tuan rumah Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama.

1963 (umur 60): Membentuk Malaysia pada 16 September, apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah).

1967 (umur 64): ASA dibubarkan untuk memberi laluan kepada persatuan yang lebih besar, iaitu Association of Southeast Asian Nations.

1969 (umur 66): Membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama.

1971 (umur 68): Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan digantikan oleh timbalannya, Datuk Abdul Razak Hussein.

1982 (umur 79): Menjadi Presiden Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) (1982 – 1988).

1990 (umur 87): Mangkat pada 6 Disember, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar di Alor Star

No comments:

Post a Comment